17 tahun BN mungkiri janji SJKC Kay Sin, Muhyiddin janji lagi

Zainulfaqar | Nov 10, 4:47 AM
 
Tan Sri Muhyiddin Yassin terus berdalih, sekolah-sekolah aliran Cina di negara ini akan terus dipertahankan di bawah pimpinan Barisan Nasional menggamit pelbagai tanda tanya.
 
Adakah janji yang dimungkiri oleh kerajaan pusat sejak 17 tahun lepas untuk untuk membina blok baru di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kay Sin dekan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk akan ditunaikan oleh Timbalan Perdana Menteri itu demi membeli kembali kepercayaan rakyat di Pulau Pinang?
 
Yang pasti, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sekali lagi berjanji bahawa sekolah-sekolah aliran lain seperti sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKC), sekolah agama rkyat (SAR) pula akan diperkukuh selaras dengan Sistem Pendidikan Nasional.
 
Muhyiddin berdalih, matlamat itu kononnya selari dengan sasaran kerajaan untuk memastikan tiada seorang pun kanak-kanak di negara ini, tanpa mengira bangsa dan agama tercicir daripada mendapat pendidikan berkualiti.
 
Malah dalihnya lagi, kerajaan juga akan terus menyalur membantu pembangunan sekolah-sekolah Cina berdasarkan keperluan sebenar komuniti tersebut.
 
"Sekolah Cina sudah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara, seperti mana jaminan pemimpin dahulu dan sekarang.
 
"Tiada negara lain di luar negara China dan negara lain yang bertutur dalam bahasa itu menerima sokongan kukuh seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Ia hanya berlaku di Malaysia.
 
"Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya kita mampu menghargai semangat, sefahaman, toleransi dan menghormatinya," dali beliau, dipertik dari Utusan Online pagi ini.
 
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Pengasas Bandar Heights Holdings Bhd. yang juga pengerusi Pameran Buku Cina Sedunia kali keempat, Tan Sri Lee Kim Yew turut hadir pada majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur itu.
 
Menjelang musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang diramalkan awal tahun depan,  Muhyiddin turut menyeru komuniti Cina agar tidak terpedaya dengan pihak tertentu yang menjadikan pendidikan sebagai agenda politik mereka.
 
"Pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan. Pendidikan penting untuk masa depan anak-anak kita dan janganlah kita memperjudikan nasib mereka demi kepentingan politik jangka pendek," dalih beliau.
 
Beliau turut mengingatkan masyarakat Malaysia supaya tidak lupa bahawa pendidikan telah memainkan peranan untuk menyatukan semua kaum di negara ini.
 
"Mari kita menjadikan semua sekolah di negara ini sebagai tempat penyatuan, yang mana kanak-kanak tanpa mengira kaum boleh bersama-sama, belajar menerima perbezaan dan menghormati antara satu sama lain.
 
"Malaysia telah membina teras memahami, toleransi serta menghormati pelbagai kaum dan tidak ada alasan bagi kita untuk tidak meneruskan teras ini untuk menjadi sebuah bangsa bersatu, membangun dan sejahtera pada masa depan," katanya.
 
Kontroversi SJKC Kay Sin dilayan dingin oleh kepemimpinan Umno pusat itu dibangkitkan oleh Chong Eng (kiri), Ahli Parlimen DAP dari Bukit Mertajam dalam satu Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Jun lepas.
 
Beliau mendakwa, kerajaan pusat turut memungkiri janji untuk memperbaiki dewan lama akibat dimakan anai-anai yang dihitung menelan belanja kira-kira RM200,000.
 
"Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sungguhpun baru perintah negeri ini dalam empat tahun, RM50,000 telahpun disumbangkan pada sekolah itu.
 
"Bajet untuk pendidikan sekolah di bawah (bidang kuasa) pusat. Pulau Pinang boleh sumbang, mengapa pusat tidak menepati janjinya (sejak) tahun 1995 dulu," soal beliau di Dewan Orang Ramai Machang Bubuk, Bukit Mertajam.
 
 
Berucap atas pentas yang sama di depan kira-kira 200 hadirin - termasuk waris pelajar sekolah berkenaan - Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng turut mendakwa bahawa Ka Siong adalah dalang sebenar yang menghalang pentadbiran sekolah-sekolah tertentu untuk membantu Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan RM100 Program Pelajar Emas kepada pelajar Tahun satu dan Tahun Empat serta Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat di negeri berkenaan sejak tahun lepas. 
 
Beliau turut menolak dakwaan pembangkang Pulau Pinang Pinang - Umno dan Barisan Nasional - kononnya Kerajaan Pulau Pinang gagal berbelanja peruntukan pembangunan demi keselesaan rakyat di negeri berkenaan.
 
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang era pakatan Rakyat sejak tahun 2008 hingga tahun 2011 telahpun meningkat 54.45 peratus berjumlah RM2.142 bilion, manakala, RM1.387 bilion dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri era Barisan Nasional sejak tahun 2004 hingga tahun 2007. -END
 
Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.