Audit: Hutang tertunggak P.Pinang paling sedikit, Kedah paling banyak?

Zainulfaqar | Oct 22, 5:52 PM
 
PULAU Pinang mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Kerajaan Negeri paling sedikit mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Pusat bagi tahun lepas, iaitu sebanyak RM2.59 juta sahaja.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng semasa mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2011 itu baru-baru ini berkata, pencapaian tersebut disebabkan Kerajaan Negeri komited membayar balik hutang mengikut tempoh yang dijadualkan oleh Kerajaan Pusat.

Pun begitu, katanya, Kerajaan Pusat seharusnya mencari jalan yang strategik untuk membantu Kerajaan-kerajaan Negeri yang lain dalam membayar balik pinjaman tertunggak masing-masing.

"Pulau Pinang, saya kira terlalu lurus lah...bayar, bayar, bayar (dan) bayar, akhirnya hutang kita (Kerajaan Negeri) paling kecil, iaitu RM2.59 juta," ujar beliau dalam satu sidang akhbar bersama-sama Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P.Ramasamy.

Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Phee Boon Poh dan Law Choo Kiang, Wong Hon Wai serta Danny Law Heng Kiang antara Exco Kerajaan Negeri yang hadir pada sidang media di Komtar, George Town.

Hadir bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rafizan Darus, Datuk Mokhtar Jait (Pegawai Kewangan Negeri) dan Datuk Mohd. Salleh Man (Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir).

Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan, tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan negeri yang berakhir pada akhir tahun 2011 menyaksikan Kerajaan Negeri Kedah paling banyak berhutang, iaitu sejumlah RM836.30 juta, diikuti oleh Terengganu (RM452.57 juta), Pahang (RM445.83 juta), Johor (RM432.29 juta), Negeri Sembilan (RM218.19 juta), Kelantan (RM197.12 juta), Melaka (RM138.25 juta), Perlis (RM113.79 juta), Selangor (RM60.70 juta), Sabah (RM55.77 juta), Sarawak (RM51.15 juta), Perak (RM43.94 juta) dan Pulau Pinang (RM2.59 juta).

Tuntas dari itu, Guan Eng menasihatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan supaya mencari jalan untuk membantu semua Kerajaan Negeri melangsaikan hutang-hutang tertunggak masing-masing.

"Saya mungkin minta tindakan yang sewajarnya lah (dilakukan oleh Kerajaan Pusat)," ujar beliau.

Rekod urus tadbir kewangan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diumumkan dalam laporan rasmi kerajaan tersebut sukaligus menyerlahkan kemampuan pemimpin-pemimpin negeri dalam memakmurkan rakyat di negeri berkenaan -END

 
Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.