BN janji 103 rumah 30 tahun lepas ditepati Guan Eng

Zainulfaqar | Dec 12, 5:16 PM
SEBANYAK 103 rumah percuma untuk rakyat Pulau Pinang yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri era Barisan Nasional hampir 30 tahun lepas ditepati oleh Kerajaan Negeri era Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, penerima rumah kos rendah (LC) berkenaan terdiri oleh 23 keluarga yang dipindahkan untuk projek Tapak Ekspo Seberang Jaya pada tahun 1985 dan 80 keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di kawasan setinggan Rumah Hijau, di sini pada 30 Jun tahun yang sama.

102 keluarga ditempatan di Rumah Pangsa Mak Mandin, manakala, satu keluarga lagi di Rumah Awam Permatang Tinggi.

"Kerajaan negeri (era Barisan Nasional) lama telah mewajibkan mereka (mangsa) membayar RM19,000 selepas diberi diskaun RM6,000.

"Akan tetapi, 103 buah keluarga menuntut diberikan rumah gantian percuma kerana mereka memberi jalan untuk projek Kerajaan Negeri baik untuk Tapak Ekspo Seberang Jaya mahupun untuk projek Rumah Hijau sekarang di mana rumah gantian diberikan.

"Malangnya, Kerajaan (Pulau Pinang) lama (era) BN (Barisan Nasional) enggan atau gagal tepati janji memberi rumah percuma," ujar beliau semasa melawat tapak Rumah Pangsa Mak Mandin, Butterworth.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Phee Boon Poh (Exco Kesihatan, Kebajikan, Mesyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) turut hadir dalam majlis interaksi dua hala dengan penduduk berwajib.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Kerajaan Negeri menanggung kos RM1.95 juta (RM1,951,683.00) di sebalik pemberian 103 rumah LC secara percuma tersebut.

Ekoran itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri akan membayar balik ansuran mengikut jumlah bayaran yang diterima oleh Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dulu.

Namun, beliau berkata, 11 keluarga yang dikenal pasti langsung tidak membuat sebarang bayaran ansuran perumahan tidak akan menerima sebarang pembayaran daripada Kerajaan Negeri.

Difahamkan, sebanyak RM1.06 juta (RM1,058,683.00) adalah bayaran balik harga rumah yang telahpun selesai.

Manakala, RM83,946.00 adalah jumlah bayaran ansuran yang telahpun dijelaskan sehingga November lepas.

Bayaran deposit yang perlu dikembalikan kepada keluarga berwajib pula adalah berjumlah RM18,270.00 sahaja.

"Sebanyak RM1,160,899.00 (RM1.16 juta) akan dibayar balik dengan syarat semua bayaran penyelenggaraan yang dihutang sebanyak RM81,120 mesti dibereskan.

"Perlu ditegaskan hak milik strata hanya akan dipindahkan sebaik sahaja bayaran penyelenggaraan tunggakan dibayar," ujar beliau.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan wajah sebenar pembangkang Pulau Pinang kononnya komited menepati janji menyediakan rumah mampu milik rakyat jika mengambil alih Kerajaan Negeri pada pilihan raya umum nanti. -END

 
Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.