Buka pintu Umno pada profesional - Dr M

Zainulfaqar | Mar 29, 10:30 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat berdalih kononnya kepemimpinan Umno yang dilihat kian tidak berwibawa disebabkan golongan profesional serta cerdik pandai disekat dari menyertai parti perkauman itu.
 
Natijahnya, beliau berkata, Umno mengalami ketandusan kepemimpinan yang berwibawa di semua peringkat.
 
Justeru katanya, Umno wajar membuka pintu seluas-luasnya untuk golongan profesional dan cendekiawan bagi menyertai Umno.
 
Desakan Dr Mahathir hakikatnya seakan menutup punca sebenar rakyat menolak Umno, antaranya insiden keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil yang didakwa menyeleweng RM250 juta dana Projek Fidlot Kebangsaan (NFC).
 
"Umno dah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk Umno, sebab itu kebanyakan doktor masuk PAS.
    
"Ini akhirnya menyukarkan Umno mencari calon sesuai bagi menentukan kemenangan pada pada pilihan raya," katanya, kelmarin, selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Budaya Global anjuran Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah di Melaka.
 
Dr Mahathir dilihat cuba mencampuri urusan pemilihan calon dalam Umno sungguhpun urusan tersebut hakikatnya dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
"Kita nak orang berbakat dan berkebolehan (bertanding), barulah kita boleh dirikan kerajaan yang berwibawa," katanya sambil mengakui sekatan golongan profesional menyertai Umno berlaku semasa beliau sebagai pemimpin parti.
    
Dr Mahathir berkata kepimpinan Umno harus sedar bahawa kemenangan dalam sesuatu pilihan raya itu ditentukan oleh pengundi, bukan ahli Umno.
    
"Kalau semua ahli Umno mengundi Barisan Nasional (BN) pun tak cukup untuk mencapai kemenangan, dia kena dapat sokongan orang luar daripada Umno, baru calon itu boleh menang," katanya.
    
Beliau berkata Umno hari ini tidak memberi peluang kepada orang luar terdiri daripada golongan cerdik pandai itu kerana keengganan ahli Umno di bahagian itu sendiri untuk menyokong calon seumpamanya.
    
"Sepatutnya kita terima calon yang baik ini sama ada mereka anggota parti atau tidak," katanya.
Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.