"Dr Mujahid, Rahmad tak layak cabar saya berdebat" - Shaik Hussein

Zainulfaqar | Apr 3, 7:35 AM

SHAIK Hussein Mydin (kiri) mengulangi cabaran untuk berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sahaja sambil menganggap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat lain yang tiada kuasa di negeri berkenaan adalah tidak layak untuk berdebat dengan beliau.

Respons Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang itu ditujukan kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof dan Rahmad Isahak (Presiden NGO Kongres Melayu Pulau Pinang, KMPP) yang beriya-iya untuk berdebat dengannya mengenai kontroversi penjualan tanah Bayan Mutiara yang didakwa  'mengorbankan'  tapak masjid.

Guan Eng yang dicabar untuk berdebat pula bertindak menyaman Shaik Hussein kerana menganggap pemimpin pemuda pembangkang Pulau Pinang itu menabur fitnah ke atas Kerajaan Negeri.

"Saya tidak akan berdebat dengan mana-mana pemimpin Pakatan yang tidak ada kuasa.

Rahmad (kanan) dan pemimpin PAS (Mujahid) bukan orang yang berkuasa, mereka tidak boleh menyelamatkan tanah masjid itu, mereka hanya mempertahankan penyelewengan Guan Eng.

"Dia (Guan Eng) berkuasa, mengapa takut untuk berdebat dengan saya? Mengapa saman saya?" soal beliau kepada PenangInsight.com malam tadi.

Beliau sekali lagi mendakwa tindakan Guan Eng mahu mengfailkan saman kepadanya hanya bertujuan untuk menutup isu tersebut dari terus dinilai oleh umat Melayu Pulau Pinang.

"Saman ini hanya untuk 'membeli masa' saya dan seluruh rakyat Pulau Pinang. Dia mahu saya tutup mulut kerana proses saman ini mungkin menenggelamkan isu Bayan Mutiara sehingga selepas pilihan raya (umum ke-13)," ujar beliau.

Semalam, Mujahid (kiri) yang juga bekas timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang mencabar Shaik Hussein berdebat. Sebelum pada itu,  Rahmad yang mengetuai sebuah NGO Melayu dakwa Umno punca 'tanah masjid' Bayan Mutiara lesap.

Ura-ura menyebut, Rahmad dijangka akan mencabar Shaik Hussein berdebat dalam satu sidang akhbar di Komtar, George Town pada 10.30 pagi ini.

Di sebalik isu kontroversi yang meledak lanskap politik Pulau Pinang ini, Guan Eng membuktikan kepemimpinannya cuba melakukan terbaik untuk rakyat terbanyak di negeri berkenaan dengan merealisasikan 30 kuota 'rumah rakyat' di Bayan Mutiara. -END

 

Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.