HAPUS anjur konvoi sempena Ambang 2013

Hirnissa | Jan 2, 7:38 AM
 
Lebih 50 motosikal dan 86 pengayuh basikal menyertai konvoi aman Hapuskan Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang (Hapus) dari Komtar ke Padang Kota Lama sempena menyambut Ambang Tahun Baru 2013 bermula jam 10 malam tadi.
 
Pengerusi badan bertindak itu, Zolkifly Md Lazim berkata, konvoi itu diadakan antara lain demi mengetengahkan impian menghapuskan tol jambatan tersebut kepada pengetahuan umat.
 
"Kita (Hapus) bersyukur kerana dibenarkan berdiri di pentas utama konsert bersama-sama YAB Lim Guan Eng (Ketua Menteri), Datuk Mansor Othman (Timbalan Ketua Menteri I) serta seluruh kepemimpinan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) yang sebenarnya disaksikan oleh lebih 10,000 hadirin, tak kira (sama ada) anak jati negeri ini atau yang datang dari luar (Pulau Pinang).
 
"Konvoi, edar 6,000 risalah serta kempen tanda tangan rakyat sokong Hapus yang dilangsungkan di dataran (Padang Kota Lama) malam ini (semalam) kerana kami (Hapus) nak bawa impian ini ke tengah umat," ujar beliau dalam satu sidang media selepas acara kemuncak letupan bunga api ke udara pada tepat detik 12.00 tengah malam dilangsungkan.
 
Difahamkan, Ambang Tahun 2013 anjuran bersama Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di Padang Kota Lama, di sini, menjadi perhatian antara lain disebabkan penampilan Raja Rock, Amy Search.
 
Naib Pengerusi badan itu, Syed Mikael Rizal Aidid serta setiausahanya, Yusof Mohd Noor (Ahli Majlis bagi MPPP) serta Zainulfaqar Yaacob (Jurucakap Hapus) turut hadir pada sidang media tersebut.
 
Zolkifly berkata, Hapus secara konsisten membawa tiga tuntutan, iaitu hapuskan tol Jambatan Pertama Pulau Pinang, tamatkan kontrak syarikat konsesi sebagaimana yang telahpun dipersetujui pada tahun 2018, dan, memerdekakan jambatan rakyat itu.
 
"Pada lebih 200 baju T yang kita jual pada malam ini (31 Disember 2012) jelas tertera konsistansi tiga tuntutan kita.
 
"Mengapa Kerajaan Pusat perlu lanjut (konsesi tol) 20 tahun lagi  hingga (tahun) 2038 dengan kadar tol yang lebih tinggi dari RM7 sekarang ke RM9.40 sejurus siap Jambatan Kedua Pulau Pinang nanti.
 
"Kalau Hapus Tol Jambatan Pertama ini mustahil, mengapa Kerajaan Pusat setuju serah konsesi sahaja 25 tahun sejak tahun 1993 dulu.
 
"Jambatan Sultan Yahya Petra (Kelantan) dan Jambatan Kuala Terengganu sampai hari ini dihapuskan tol, tetapi, tetap diselenggara dengan baik kerana jambatan adalah jalan raya yang semua kita telah pun bayar cukai jalan," ujar beliau.
 
Justeru, beliau berkata, rakyat seharusnya diberi pilihan untuk menggunakan jambatan pertama tanpa tol atau jambatan kedua dengan tol sebagaimana rakyat diberi pilihan untuk guna 'jalan luar' tanpa tol atau Lebuh raya Udara-Selatan yang bertol.
 
"Tiada alasan lagi untuk teruskan konsesi tol ini...Tuhan pun beri pilihan untuk hidup (serta) bagi kita pilih ke Syurga atau Neraka. Takkan rakyat langsung tiada pilihan untuk pilih jambatan pertama tanpa tol atau jambatan yang baru (Jambatan Kedua Pulau Pinang) dengan tol," soal beliau.
 
Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.