Mujahid 'gugur' di Zakat P.Pinang tanpa bincang?

Zainulfaqar | Jan 8, 3:54 AM

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (kanan) mengaku bahawa perkhidmatannya sebagai Ahli Lembaga Zakat Pulau Pinang tidak lagi disambung oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri untuk sesi tahun 2013.

 

"Saya dilantik atas kapasiti parti (PAS), apa-apa perubahan yang dilakukan seharusnya dibincangkan terlebih dahulu dan harus diukur pada rekod pencapaian yang dilakukan supaya kepemimpinan di Zakat Pulau Pinang itu terus berkembang untuk manfaat umat Islam.

 

"Semua pencapaian Ahli Lembaga Zakat Pulau Pinang ada untuk diukur dan kita telah meletakkan suatu piawaian yang tinggi sebelum ini, tetapi saya langsung tidak dibawa berbincang dengan semua ini.

 

"Tempoh perlantikan semua Ahli Lembaga Zakat Pulau Pinang termasuk saya tamat pada akhir bulan Disember (tahun lepas), ada penggantian dua orang dan salah seorang adalah saya.

 

"Itupun, dimaklumkan bukan daripada pemimpin parti yang melantik saya," ujar beliau di kediamannya dekat Parit Buntar, Perak.

 

Difahamkan, seorang lagi pemimpin wibawa yang turut tidak disambung perkhidmatan sebagai Ahli Lembaga Zakat Pulau Pinang adalah Prof Kamarul Azizi.

 

Kedua-duanya memegang ijazah kedoktoran serta diakui dinamik dalam mengemukakan polisi urus tadbir zakat sepanjang dilantik sebagai Ahli Lembaga Zakat Pulau Pinang sebelum ini. 

 

"Boleh disemak rekod sumbangan kami di Zakat Pulau Pinang. Beliau (Kamarul) memegang port-folio pendidikan dan saya menjadi timbalannya. Dan, saya memegang port-folio Promosi dan beliau timbalan saya.

 

"Penjenamaan semula dari Pusat Urus Zakat (PUZ) pada Zakat Pulau Pinang antara yang kita lakukan untuk mengangkat wibawa institusi ini.

 

"Hasil wibawa ini, kita berjaya menerima zakat korporat lebih RM40 juta pada tahun lepas (termasuk) RM8 juta dari (syarikat) Gula Perai (iaitu) sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini," jelas beliau. 

 

Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang, Mohd. Noor Harun mengggantikan Dr Mujahid. Manakala,  Mohd Fadhil Kimi yang dikenali sebagai aktivis parti menggantikan Prof. Kamarul Azizi.

 

Mujahid berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa beliau 'dikerat' oleh pemimpin tertentu dalam Umno atau pemimpin tertentu yang masih mesra Umno.

 

Ini kerana, katanya, layanan yang diterima beliau belakangan ini didakwa cukup dingin, tidak seperti semasa beliau dilantik ke jawatan penting itu.

 

Malah, beliau turut menafikan khabar angin yang disebarkan oleh pihak tertentu kononnya beliau menolak tawaran disambung jawatan dalam Zakat Pulau Pinang.

 

"Ini khabar angin yang disebarkan oleh pemimpin Umno atau mungkin oleh mereka yang masih mesra dengan Umno kerana tidak mahu wibawa PAS terus dominan dalam Zakat Pulau Pinang.

 

"Saya selaku AJK PAS Pusat sama sekali tidak mahu melihat Zakat Pulau Pinang dipimpin oleh mereka yang lemah polisi atau tiada wibawa untuk membawa sesuatu untuk umat Islam di negeri ini," ujar beliau.

 

Sebelum pada itu, PenangInsight.com cuba mendapatkan maklum balas daripada Mohd. Salleh berhubung ura-ura Dr Mujahid 'dikerat' oleh kepemimpinan PAS peringkat negeri sendiri, namun gagal.

 

Bagaimanapun, sumber-sumber dalaman dalam Zakat Pulau Pinang yang diteroka sejak kelmarin sendiri mengakui bahawa Mujahid seakan 'dikerat' oleh pemimpin PAS peringkat negeri sendiri atas alasan yang samar-samar.

 

"Nor Azman Abdul Samat (Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang) sendiri yang memberitahu Datuk (Dr. Mujahid) selepas mesyuarat akhir Lembaga Pengarah pada hujung Disember lepas. Itupun, kerana tidak sampai hati melihat Datuk dilayan sebegitu,"

 

"Tak tahulah kenapa Datuk Mohd Salleh (kiri) tidak membuat pengumuman Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang yang baru sebagaimana beliau mengumumkan Ahli Lembaga Pengarah MAINPP sebelum ini.

 

"Yang didengar, beliau (Mohd Salleh) kata senarai baru (Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang) itu konon-konon datang daripada Timbalan Ketua Menteri I (Datuk Mansor Othman)," ujar sumber sambil menimbulkan tanda tanya atas tindak tanduk Mohd. Salleh tersebut.

 

Adakah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu 'dikerat' oleh pemimpin PAS Negeri? Grup Umno dan mereka yang masih mesra  parti perkauman itu mungkin ada jawapannya. END 

Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.