Najib terima kata dua, Muhyiddin rancang 'UG II'?

Zainulfaqar | Jan 14, 10:07 AM

 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa hari lepas didedah menerima kata dua daripada grup timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Sumber dalaman PAS memberitahu, Najib diberi pilihan sama ada berundur dari arena politik sekarang atau berdepan sabotaj berbesar-besaran di Parlimen Pekan yang disandangnya itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

 

Malah, grup Muhyiddin didedah turut cuba mempengaruhi pemimpin tertentu Pas untuk menyegarkan semula idea 'Kerajaan Perpaduan' membabitkan kedua-dua pihak sahaja dengan membangkitkan kepentingan isi Kalimah Allah serta cita-cita melaksanakan Hudud di tanah air ini.

 

"Tolong semak dan kenal pasti siapa yang terlibat? Pihak Muhyiddin sudah beri kata dua kepada bosnya (Najib).

 

"Wakil dia sedang usaha mempengaruhi pemimpin Pas dengan isu kalimah Allah dan Hudud. Maklumat baru diterima malam tadi," ujar sumber kepada PenangInsight.com awak pagi tadi.

 

Sumber berkata, bekas pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Mohd. Hassan Ali yang kini menubuhkan Pertubuhan Jalur Tiga diberi peranan penting untuk operasi 'Kerajaan Perpaduan II' atau 'UG II'

 

Tambah beliau, grup Muhyiddin turut didedah cuba mempengaruhi bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa untuk merealisasi negosiasi itu.

 

"Nasharuddin mesra dengan Najib, semua rakyat Malaysia tahu. Tapi, dia penting untuk Muhyiddin.

 

"Tentu ada sebabnya mengapa majlis presiden (Pakatan Rakyat) lama tidak bermesyuarat. Tentu ada sebabnya Pas enggan mengumumkan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seperti PKR dan DAP buat," ujar beliau.

 

Terdahulu, idea Kerajaan Perpaduan (UG) yang dilontar oleh Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sungguhpun berniat baik, dipolimikkan secara dalaman dalam parti Islam itu.

 

Difahamkan, idea murni itu adalah lanjutan pada penubuhan Task Force 2010 membabitkan pemimpin kedua-dua parti Melayu-Islam serta ketenteraan negara itu sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 pada pertengahan Mac 2008 lepas lagi demi menyelesaikan konflik umat Islam di peringkat rantau Asia Tenggara.

 

Pun begitu, beberapa laporan media sejak hampir empat tahun lepas melaporkan, idea murni itu lebih ke arah arah gabungan antara Pas dan Umno pasca PRU12.

 

Sepanjang tempoh itu, Abdul Hadi dilihat menjadi sasaran media dan beberapa blogger mesra Pas.

 

Lebih tiga kali sidang media berasingan menyaksikan Abdul Hadi menafikan pertanyaan wartawan di Dewan Rakyat kononnya Pas ada melakukan 'pertemuan dalam gelap' bersama Umno, sehinggalah Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri selaku Pengerusi Task Force 2010 merangkap perdana menteri semasa itu mengaku, "ada pertemuan dengan Pas sebanyak tiga kali".

 

Sejak itu, beberapa pemimpin Umno serta pemimpin muda Pas menjadikan media arus pertama sebagai medan menjernihkan hasrat mengadakan Kerajaan Perpaduan tersebut, sungguhpun mendapat reaksi dingin daripada kepemimpinan utama PKR dan DAP dalam wadah Pakatan Rakyat.

 

Tidak cukup dengan itu, polimpik idea Kerajaan Perpaduan membabitkan Pas dan Umno turut dibincangkan secara tajam dalam Muktamar Pas di Ipoh sejak tahun 2008 serta ditolak secara tidak langsung oleh perwakilan parti.

 

Perkembangan itu, mendesak Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tampil mengumumkan Pas "tutup buku" untuk bekerjasama dengan pihak zalim bernama Umno.

 

Nada yang sama turut dipertegaskan oleh Abdul Hadi sendiri di lobi Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2009.

 

"(Idea Kerajaan Perpaduan) itu dah tutup buku, kerajaan perpaduan tak ada lagi. Perdana Menteri zaman itu pun dah berhenti...Tak timbul lagi, sekarang Perdana Menteri baru.

 

"Tak timbul lagi masa ini, berhenti dulu. Itu konsep yang kita timbulkan masa zaman (Tun) Abdullah," kata Abdul Hadi.

 

Perkembangan terbaru yang didedah ini sekaligus dijangka sekali lagi akan menggagalkan rancangan Umno yang didakwa cuba melakukan huru-hara dalam negara bermula sekarang, termasuk memecahkan tapak sokongan rakyat terhadap Pas serta Pakatan Rakyat sebelum pilihan raya umum kelak. -END

Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.