OCPD 'berdalih' elak SUARAM bertemu mangsa

Zainulfaqar | Nov 30, 8:32 AM
 
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Tengah, OCPD Azman Abd. Lah dilaporkan tetap tidak membenarkan mana-mana pihak bertemu dengan Tarmizi Idris, 20, yang dikatakan menerima seksaan dalam lokap melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Negeri Pulau Pinang
 
Itu maklum balas yang diterima oleh Keoordinator Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sean Ho selepas bertemu dan berunding dengan Azman di Balai Polis Perda, Bukit Mertajam pada petang semalam.
 
"OCPD memberitahu bahawa Tarmizi dan seorang lagi temannya adalah saspek penagih. 
 
"Kita menerima aduan bahawa mangsa dipukul dan menerima renjatan elektrik dalam lokap, tetapi Tuan Azman menafikan semua itu tanpa membenarkan kita bertemu dengan mangsa itu sendiri. 
 
"Kita tahu, kerja polis adalah melakukan proses siasatan. Kedatangan kita (SUARAM) di sini (balai polis) pun sebenarnya hanyalah untuk memastikan apa-apa tindakan di luar SOP (tatacara pengendalian piawai) tidak dilakukan ke atas mangsa," tegas beliau semalam kepada PenangInsight.com 
 
Naib Ketua AMK Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin (paling kanan) dan seorang pemimpin Persatuan Penduduk di Seberang Jaya - yang merupakan tempat tinggal mangsa - turut menyertai delegasi badan hak asasi manusia SUARAM itu.
 
Sebelum pada iu, delegasi SUARAM cuba mendapatkan kerjasama daripada Pegawai Penyiasat (IO) berwajib dan seorang Inspektor di balai yang sama, namun gagal.  
 
Dr Afif berkata, pihaknya sedang menunggu laporan perubatan mangsa daripada Hospital Bukit Mertajam sebelum tindakan lanjut diambil.
 
"Kita masih tak dapat kerjasama sepenuhnya. Kita perlu tunggu laporan perubatan kerana kita tak tahu apakah perkara sebenar yang dilalui oleh mangsa dalam lokap.
 
"Kebimbangan kita ada asasnya kerana sebelum ini telah banyak insiden tidak mengikut SOP berlaku dalam lokap seperti perempuan warga Indonesia mengaku dirogol oleh tiga pegawai polis, kematian dalam lokap dan sebagainya.
 
"Tiada apa-apa perlu dilindungi oleh polis sekiranya mereka benar-benar ikut SOP semasa menyiasat mangsa dalam lokap," ujar beliau.
 
Semalam, penyokong SUARAM dan Angatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dilaporkan mahu melancarkan piket di depan balai polis daerah tersebut, tetapi, mengambil jalan rundingan selepas menerima nasihat daripada beberapa pemimpin persatuan penduduk Seberang Jaya.
 
Dilaporkan, kedua-dua mangsa dikejar ke Hospital Bukit Mertajam sebelum dibenarkan bertemu dengan waris.
 
Selasa lepas, kira-kira jam 7.00 malam, mangsa ditangkap oleh polis semasa kedua-dua saspek itu sedang lepak bersama-sama rakan sebaya di Flat Taman Siakap, Seberang Jaya.
 
Tangkapan itu mengundang pelbagai tanda tanya, termasuk mangsa dikatakan menerima kekasaran fizikal serta renjatan elektrik.
 
Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Puan Ani, iaitu jiran kepada waris Tarmizi memberitahu, mangsa dipaksa mengaku positif dadah hasil ujian air kencing.
 
Malah, dilaporkan, waris mangsa turut diperas RM5,000 oleh pihak tertentu supaya kes mangsa diselesaikan di luar mahkamah.
 
Setakat ini, dilaporkan, Polis telahpun mendapatkan perintah reman sehingga Isnin depan daripada mahkamah bagi kes tersebut.
 
Adakah sesuatu yang tidak diingini telahpun berlaku dalam lokap sehingga disembunyikan dari pengetahuan umum? 
 
Polis Balai Perda berwajib ada jawapannya.   

 

Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.