Pahlawan Kanang, Keng Yaik lantang wajar diingati - Guan Eng

Zainulfaqar | Jan 4, 3:03 PM
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pahlawan Negara, Datuk Temenggong Kanang Langkau (kiri) baru-baru ini.
 
Menurut beliau, mendiang Kanang meninggal dunia pada 3 Januari lepas di Hospital Besar Kuching, Sarawak.
 
"Datuk Kanang adalah anak Sarawak dan Malaysia yang telah membanggakan negara dengan keberaniannya semasa mempertahankan negara ketika tempoh perkhidmatannya bersama Angkatan Tentera Malaysia. 
 
"Beliau mula berkhidmat dalam Sarawak Ranger sebagai Iban Tracker dan jawatan terakhirnya ialah sebagai Pegawai Waran 1," ujar beliau dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.
 
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, kepahlawanan mendiang wajar diingati memandangkan mendiang pernah menerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan Anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), iaitu pingat keberanian tertinggi negara.
 
Tambah beliau, mendingan juga merupakan soldadu tunggal yang menerima pingat SP ketika masih hidup.
 
"Sudah pasti negara kita telah kehilangan seorang wira yang telah banyak berkorban demi memperjuangkan kebebasan dan keamanan," ujar beliau. 
 
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Presiden Gerakan merangkap bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Tun Lim Keng Yaik (kanan) baru-baru ini.
 
Beliau berkata, mendiang , Keng Yaik, 73, seorang ahli poltik yang banyak berjasa kepada negara kerana dilihat begitu lantang mempertikai beberapa tadbir urus pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
 
Justeru, beliau berkata, peranan yang dimainkan oleh Keng Yaik selama 27 tahun, iaitu dari tahun 1986 hingga tahun 2008 wajar diingati.
 
"Keng Yaik seorang yang suka berterus terang, berjenaka dan mudah didekati akar umbi (sehingga) menyebabkan beliau mampu bertahan sebagai Presiden Gerakan selama 27 tahun dan tidak pernah tewas (di) kerusi Parlimen Bruas kepada DAP sejak 1986.
 
"Hanya selepas Keng Yaik bersara, barulah kerusi Parlimen Bruas itu jatuh ke tangan DAP dengan majoriti undi yang kecil (sekaligus) membuktikan mendiang begitu berpengaruh di kawasan itu," ujar beliau yang juga Setiausaha Agung DAP di Kuala Lumpur.
 
Keng Yaik, 73, meninggal dunia kira-kira pada 22 Disember tahun lepas, kira-kira detik 5.13 petang meninggalkan balu, Toh Puan Wong Yoon Chuan serta tiga anak, termasuk Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Lim Si Pin. -END
 
Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.