'Tekanan' punca KLIDC serah balik tanah Taman Manggis

Zainulfaqar | Dec 4, 12:51 PM
PUSAT Pergigian Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIDC) akhirnya menyatakan hasrat untuk menyerahkan kembali tanah Taman Manggis berkeluasan 0.45 hektar yang telahpun dibeli dengan menuntut pampasan munasabah daripada Kerajaan Negeri.
 
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng baru-baru berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pihak korporat itu menerima tekanan daripada pihak tertentu di sebalik permaian politik oleh pembangkang Pulau Pinang.
 
"Apabila Barisan Nasional tiada wang untuk membeli tanah tersebut, kebenaran tidak diberikan (kepada KLIDC) sampai mereka terpaksa membatalkan (permohonan membeli tanah).
 
"Mungkin mereka (KLIDC) menerima tekanan dari pihak atasan sehingga mereka terpaksa melakukan semua ini," ujar beliau selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan RM1,000 kepada waris warga emas meninggal dunia dan bantuan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Balik Pulau, di sini. 
 
Surat penyataan hasrat KLIDC bertarikh 6 Ogos lepas kepada Guan Eng antara lain menyebut, "disebabkan penolakan berulang kali permohonon menubuhkan hospital daripada Kementerian Kesihatan, kami ingin menamatkan anugerah tanah."
 
Dalam surat tersebut juga, Ketua Pegawai Eksekutif KLIDC, Dr. Low Soo Huat menyatakan harapan supaya Kerajaan Negeri mempertimbang suatu pampasan yang munasabah untuk dibayar balik kepada pihaknya.
 
Pun begitu, dalam surat kepada Ketua Menteri bertarikh 9 November lepas, Soo Huat menyatakan hasrat bersetuju untuk tanah itu dibeli oleh Barisan Nasional kononnya atas kepentingan umum, iaitu membina rumah mampu milik rakyat.
 
Sementara itu, akhbar The Star pula melaporan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengaku bahawa pihaknya telahpun mengeluarkan sijil kelulusan kepada KLIDC pada 7 November lepas. 
 
Terdahulu, Barisan Nasional Pulau Pinang menawarkan diri untuk membeli tanah kosong Lot 305, 306, 313 dan 314 yang berkeluasan 0.445 hektar di Taman Kampung Manggis, Jalan Zainal Abidin kononnya untuk membangunkan 140 unit rumah kos rendah (LC) dan rumah kos sederhana rendah (LMC) di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis Fasa II.
 
Ketua Pemuda Barisan Nasional, Oh Tong Keong menuduh pentadbiran Guan Eng lebih mementingkan keuntungan dengan menjual tanah tersebut kepada pihak swasta bagi rancangan pembinaan bangunan 30 tingkat yang terdiri oleh 17 tingkat hotel, enam tingkat hospital swasta dan lima tingkat parkir.
 
Justeru, beliau mengaku menerima surat tawaran daripada Kerajaan Negeri pada 4 September lepas dengan sebut harga RM450 sekaki persegi atau RM22 juta bagi keseluruhan tanah itu.
 
Bagaimanapun, hasrat Tong Keong tersebut dipertikai kerana pembayaran pendahuluan yang diterima oleh Kerajaan Negeri itu bukan secara langsung daripada Barisan Nasional sendiri.
 
Barisan Nasional yang digambarkan tidak mampu membayar RM22 juta kepada Kerajaan Negeri kemudiannya berdalih bahawa tanah tersebut yang sepatutnya dibeli oleh mereka telahpun dijual kepada KLIDC.
 
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang juga pengamal undang-undang berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh menjual tanah bernilai tinggi itu kepada Barisan Nasional dengan syarat geran tanah belum diserahkan kepada mana-mana pihak, termasuk kepada pihak KLIDC yang berjaya membina tanah itu.
 
Pun begitu, katanya, KLIDC berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Negeri memandangkan pihak tersebut telahpun membuat pembayaran penuh, 
 
Namun, difahamkan, KLIDC tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Kerajaan Negeri.
 
"Mereka (Barisan Nasional) tidak mampu beli tanah ini, KLIDC tidak dapat kebenaran (menubuhkan hospital) sampai mereka terpaksa membatalkan (projek di Taman Manggis)," ujar Guan Eng. 
 
Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri merancang untuk membina 2,000 unit rumah mampu milik di Jalan SP Chelliah, iaitu sebidang tanah yang jauh lebih luas serta berdekatan dengan tanah kosong di Jalan Zainal Abidin sendiri.
 
Perkembangan terbaru itu sekaligus seakan menyerlahkan wajah sebenar pembangkang Pulau Pinang kononnya membela kebajikan rakyat. -END
 
Tag: 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.