Ekonomi, moral & intelektual Najib lemah

 
Pertumbuhan ekonomi yang lembap iaitu pada kadar 4.7% dalam 2012 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini memberikan kesan serius terhadap kewangan negara.  
 
Ini adalah kali kedua pentadbiran Najib Razak gagal untuk mencapai sasaran penting ekonomi berdasarkan Belanjawan 2012. 
 
Bukan sahaja beliau gagal memenuhi sasaran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011, pentadbirannya juga tidak berjaya melepasi sasaran pertumbuhan pelaburan swasta pada takuk 14.4% sahaja (berbanding sasaran 16.2%).

Pakatan Rakyat mencadangkan pendekatan tuntas untuk mengatasi kemerosotan ekonomi kesan ketidakcekapan tatakelola dan penyelewengan Barisan Nasional. 

 
Satu daripada penjajaran semula ekonomi yang dicadangkan adalah dengan mengubah dasar yang menumpukan kepada sasaran ekuiti 30% Bumiputera yang disalahguna oleh Barisan Nasional; kepada sasaran ekonomi berteraskan pendapatan minima RM4,000 sebulan untuk setiap isi rumah bagi setiap keluarga dalam tempoh lima tahun tempoh pentadbiran Pakatan Rakyat. 
 
Malang sekali apabila Perdana Menteri Malaysia tidak dapat membezakan di antara gaji minima yang dikuatkuasa melalui undang-undang buruh dan sasaran pendapatan isi rumah yang dicapai melalui kebijakan ekonomi.
Sasaran ekuiti 30% Bumiputera telah dimanipulasi oleh kroni dan pihak berkepentingan untuk memperkayakan diri mereka sedang rakyat jelata terus sengsara.  Jurang di antara kelompok kaya dan miskin semakin meluas dengan ketara akibat penyelewengan yang dilakukan kononnya atas keperluan mencapai sasaran 30% ekuiti ini.

Pengurusan kekayaan negara secara lebih adil seharusnya ditumpukan untuk memastikan setiap keluarga menikmati mutu hidup yang baik.  Pendapatan setiap keluarga mesti ditingkatkan sejajar dengan peningkatan kos kehidupan.  Setiap keluarga mesti meraih pendapatan yang lebih tinggi dari garis kemiskinan supaya mampu membuat pelaburan untuk masa depan anak-anak mereka.

Justeru, sasaran ekonomi yang ditetapkan oleh Pakatan Rakyat agar jumlah pendapatan setiap keluarga di Malaysia sekurang-kurangnya mencecah RM4,000 sebulan bukan saja tepat secara moral, bahkan mampu untuk dicapai menerusi gabungan dasar ekonomi pro-rakyat yang dicadangkan.

Najib tidak sewajarnya mengkritik dasar-dasar ekonomi Pakatan Rakyat apabila beliau sendiri terus mengelak untuk berdebat secara terbuka tentang dasar-dasar tersebut. 

 
Jika beliau yakin bahawa Pakatan Rakyat tidak berkemampuan untuk melaksanakan tawaran-tawaran ekonomi tersebut, beliau seharusnya berani untuk mempertahankan pendirian beliau itu dalam perdebatan terbuka.

Keengganan beliau untuk berdebat dengan saya berkaitan dasar-dasar ekonomi hanya mengesahkan dakwaan mutakhir ini bahawa beliau sememangnya memimpin sebuah kerajaan yang lemah - baik dari aspek ekonomi, moral dan juga intelektual.

 
 

Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat. Beliau pernah menjadi timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan sebelum dipecat lalu dipenjara di Kem Kemunting. Beliau disebut-sebut sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia masa depan Malaysia. Beliau berkicau di Twitter @anwaribrahim.

 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.