Hapus tol jambatan pertama P.Pinang bukan idea yang mustahil

 

HAPUSKAN Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang bukanlah suatu idea yang mustahil jika seluruh rakyat bangkit memberi isyarat kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang ini.

Kalau mustahil, dari awal lagi Kerajaan Pusat tidak akan membuat perjanjian penyerahan konsesi selama 25 tahun bermula pada 1 Oktober 1993 hingga 31 Mei 2018 lepas.

Kalau mustahil, perjanjian konsesi yang dipersetujui antara Kerajaan Pusat dan syarikat konsesi patut absah "selagimana ada bulan dan bintang'.

Kos asal jambatan itu adalah RM943.54 juta. 

Tapi, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri telahpun menyerahkan konsesi itu kepada syarikat Mekar Idaman dengan nilai RM550 juta.

Purata kutipan tol sekarang ini pula dianggarkan kira-kira RM178 juta tiap-tiap tahun. 

Jika diunjurkan anggaran kutipan itu, sebenarnya, syarikat konsesi tersebut memerlukan satu per lapan saja untuk mendapatkan balik RM550 juta tersebut.

Takkan tujuh per lapan baki dari jumlah kutipan tahunan tersebut hangus untuk kos selenggara dan kos pengurusan?

Takkan tiada langsung untung tahunan di sebalik kutipan tol tersebut selama ini?

Apa yang nak disebut di sini, Hapuskan Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang bukanlah sesuatu idea yang mustahil.

Kita tentu masih ingat, Hapuskan Tol Jambatan Kuala Terengganu pernah menjadi salah satu manifesto PAS serta Barisan Alternatif (BA yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat) pada Pilihan Raya Umum 1999.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipilih menjadi Menteri Besar Terengganu telahpun menghapuskan tol jambatan tersebut sungguhpun Kerajaan Pusat didakwa menafikan hak rakyat di negeri berkenaan untuk menikmati royalti minyak secara telus sehingga sekarang.

Selepas kepemimpinan Kerajaan Negeri Terengganu berpindah tangan kembali kepada Barisan Nasional, idea tidak mengenakan tol di jambatan itu diteruskan sampai sekarang.

Tak timbul pun, dalih bahawa langkah menghapuskan tol itu mengakibatkan jambatan tersebut tidak diselenggara.Tak timbul pun, dalih bahawa Kerajaan Pusat hatta Kerajaan Negeri mengalami kerugian ekoran tol jambatan itu dihapuskan sehingga sekarang.

Apa yang nak disebut di sini, Hapuskan Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang bukanlah sesuatu idea yang mustahil.Jambatan adalah jalan raya. 

Jambatan dibina kerana jalan raya diperlukan untuk merentasi kawasan perairan atau bukit bukau.

Sebab itu, jalan raya yang merentasi sungai atau bukit bukau seperti Jambatan Sungai Kerian (dari Nibong Tebal ke Parit Buntar), Jambatan Teluk Intan, Jambatan Kuala Kurau, Jambatan Sultan Azlan Syah, Jambatan Sungai Pahang, Jambatan Tasek Bandeng, Jambatan Mersing, Jambatan Tendung tidak dikenakan tol.

Kita menggunakan semua jambatan itu secara percuma, tiada tol.

Secara umumnya, semua jambatan ditanah air ini digunakan oleh seluruh rakyat Malaysia secara percuma kerana tiada tol dikenakan.

Semua jambatan ini digunakan secara percuma kerana kita semua telahpun membayar cukai jalan (roadtax).Dalam konteks Pulau Pinang, mengapa kita seakan tiada pilihan hatta terpaksa membayar tol untuk menggunakan jalan raya melalui Jambatan Pertama Pulau Pinang sungguhpun kita semua telahpun membayar cukai jalan kepada Kerajaan Pusat?

Apa yang nak disebut di sini, Hapuskan Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang bukanlah sesuatu idea yang mustahil.

Apabila Kerajaan Negeri Kelantan menuntut wang royalti minyak daripada Kerajaan Pusat sejak lebih tiga dekad yang lalu, banyak pihak menelah bahawa usaha pihak oposisi itu hampir mustahil selagi tiada perubahan kuasa di Putrajaya.

Tak sampai setahun, badan bukan kerajaan (NGO) bernama Tuntutan Royalti Kelantan yang lebih dikenali sebagai "R" menggembling idea itu, yang dilihat adalah seluruh anak muda di negeri berkenaan berkongsi impian tersebut.

Idea yang digembling menyaksikan hampir 20,000 rakyat tak kira status sosial atau ideologi politik kepartian berhimpun di Stadium Negeri atas impian "R" baru-baru ini.

Hampir di semua negeri, "R" dijelajahkan untuk menggamit warga Kelantan untuk berkongsi idea serta impian dinamik itu.Impaknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu tuntutan bayaran tunai royalti daripada hasil petroleum kepada Kelantan; dan satu lagi negeri, iaitu Terengganu.

"Jawatankuasa Khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib pada 4 Ogos lepas di Kuala Lumpur, dipetik dari sesawang Sinar Harian.

Itu, tidak termasuk langkah Kerajaan Negeri Kelantan menghapuskan Tol Jambatan Sultan Yahya Putra oleh kepemimpinan PAS pada tahun 1995. 

Apa yang nak disebut di sini, Hapuskan Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang bukanlah sesuatu idea yang mustahil.

Hapuskan Tol Sungai Nyiur telahpun menjadi manifesto Pakatan Rakyat Pulau Pinang pada pilihan umum yang lepas.Sampai sekarang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh menghapus tol 50 sen itu kerana lebuh raya itu di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Bayangkan jika Hapuskan Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang jadi manifesto rakyat sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak. 

Apa yang nak disebut di sini, Hapuskan Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang bukanlah sesuatu idea yang mustahil.

Tiada benda yang mustahil selagi manusia berpijak atas idea yang rasional serta iltizam yang berterusan untuk melakukan sesuatu yang terbaik demi kepentingan rakyat terbanyak.

Yakin bahawa seluruh rakyat Pulau Pinang dan Malaysia akan bersama HAPUS.

Setuju?

 

Zolkifly Md Lazim merupakan anak kelahiran Pulau Pinang merangkap Pengerusi badan bertindak Hapuskan Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang (HAPUS).

 

 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.