Jihad Melawan Obesiti, Ayuh Berforum!

 

Bulan Mac baru-baru ini  genap setahun saya berada di dalam program Transformasi Diri.

 

Misi mengurangkan 40kg berat badan.
 
Ia seperti mencabut seorang murid tahun 5 yang melekat di badan, dibawa ke hulu hilir sebagai beban yang menyeksa keseimbangan metabolik diri.
 
Saya menempuh pasang surutnya. Sehingga penghujung 2011, saya sudah berjaya menurunkan berat badan daripada 133kg kepada 96kg. Alhamdulillah, adalah sebaik-baik perkataan untuk menggambarkan apa yang saya rasa, percaya dan terima mengenainya. Saya diisytiharkan bebas diabetis. Rawatan dihentikan sepenuhnya. Seluruh rekod kolestrol menjadi normal. Saya kembali menjadi ‘manusia’.
 
Semuanya ditempuh dengan pahit manis perjalanan. Penyesuaian sosial, sangat menguji diri. Syukur Alhamdulillah, isteri dan anak-anak menyokong tanpa berbelah bagi. Biar pun ada kalanya mereka turut murung apabila pilihan makanan saya menjadi terbatas terutamanya ketika mahu bergembira makan di luar, mereka berjaya menyesuaikan diri. Isteri saya pun menyertai aktiviti diet ini, dan beliau juga membuat catatan cemerlang yang memuaskan.
 
Emak saya pun memberi galakan juga sokongan. Dia tidak berkecil hati apabila rendang pedas ayamnya yang menjadi kegemaran saya semenjak kecil, tidak saya jamah. Saya hanya duduk semeja, menemankan emak makan, sambil mengunyah epal ala-ala herbivor.
 
Selepas 8 bulan berjuang, bersama saranan Dr. Mahathir agar saya ‘berehat’ dan berlatih untuk mengawal sendiri pemakanan, saya tersedar yang semua perubahan berlaku, ia masih belum menjadi tabiat. Ia masih memerlukan mujahadah. Saya kembali makan nasi, menjamah durian, menebus kembali makanan-makanan yang sudah 8 bulan ditalak! Sangka saya ia talaq ba’in. Rupa-rupanya ia talaq raj’i!
 
Nasi masih sedap.
 
Tambahan pula kalau Nasi itu Nasi Arab.
 
Saya cuba mengawal, menguji keupayaan memilih dalam kebebasan yang diberikan oleh doktor. Berat badan saya naik kembali!
 
Biar pun hanya 10kg berbanding penurunan lebih 30kg, ia tetap menggusarkan saya.
 
Syukur, catatan saya di blog banyak membantu. Saya ada rujukan untuk kembali pulang. Kembali ke perjuangan yang belum selesai. Dr. Mahathir sentiasa optimis. Beliau memberikan sokongan, biar pun untuk mengadap beliau kembali dengan berat badan yang naik 10kg, saya ‘terpaksa dipaksa’ oleh isteri. Beliau tidak mahu saya terus murung. Saya perlu teruskan perjuangan.
 
Bermula tahun baru, perjuangan diteruskan kembali.
 
Kawalan makan, pembetulan tidur, dan sebuah cross-trainer di rumah agar tiada lagi alasan untuk tidak bersenam. Semenjak berpindah ke Bandar Seri Putra, saya masih gagal bertemu lokasi yang menyeronokkan untuk aktiviti jogging. Sama ada Tasik Cempaka di Bangi yang kotor berbanding lokasi-lokasi di Cheras dan Ampang, mahu pun terganggu kerana sering ditegur orang.
 
“Hai ustaz!”
 
“Assalamualaikum ustaz!”
 
Sudah tentu secara spiritualnya saya menyambut sapaan itu dengan jiwa Muslim yang gembira. Tetapi secara emosi, saya terganggu.
 
Hal itu diatasi melalui alat-alat senaman pada lingkungan keupayaan diri, dilengkapkan di rumah. Dumb bell, tali skipping, Resistance Tube, dan sebuah cross trainer, senaman diusahakan menjadi tabiat di rumah. Alhamdulillah dalam masa 40 hari ini, 10kg tambahan itu sudah berhasil dibuang. Masih ada beberapa kilogram yang perlu saya atasi, dan sudah tentu kesihatan menjadi keutamaan, berbanding angka, yang lebih berperanan sebagai petunjuk untuk membimbing.
 
TREND PARA USTAZ
 
Syukur Alhamdulillah, Dr. Mahathir memberitahu saya bahawa ada ramai ustaz yang telah menyertai program yang sama. Sudah tentu, saya gembira dan bersyukur. Saya pernah berseloroh mengatakan, “mungkin Men’s Health versi Malaysia pada tahun 2012 nanti akan menampilkan para ustaz sebagai model muka depan majalah kesihatan itu!”
 
Siapa tahu.
 
Saya ucapkan tahniah kepada para ustaz sama ada yang pernah saya temui berselisih di klinik Dr Mahathir, atau pun yang sememangnya turut menjadi perhatian umum, seperti sahabat yang saya kasihi al-Fadhil Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman al-Mubarak! Tidak dilupakan al-Fadhil Ustaz Johari Abdul Wahab yang menyertai program yang sama.
 
Trend kesedaran para agamawan terhadap kesihatan serta penjagaan penampilan diri ini merupakan hal baru, sekurang-kurangnya buat diri saya. Perjuangan mesti diteruskan pada mengikis imej ‘geng kepala kambing’ yang dikenakan kepada para ustaz dek kegilaan mereka terhadap kaware’, ra’s al-ghanam dan makanan-makanan eksotik kenangan mastautin negara Arab yang lain. Alhamdulillah ‘peminat-peminat para ustaz’ sudah beransur-ansur berhenti ‘membunuh’ ustaz mereka dengan hidangan makanan yang memendekkan nafas pejuang.
 

 

Insya Allah pada 20 Mei 2012 akan datang, Timeless Clinic akan menganjurkan sebuah Forum Kesihatan dan Kecantikan Menurut Islam. Ia bakal menampilkan Dr. Mahathir Mohamed dan isteri beliau, Dr. Norhalina Azly Minhat sebagai panelis utama, dengan Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman selaku moderator, bersama saya dan Ustaz Johari Abdul Wahab sebagai panelis jemputan. Program yang bakal diadakan di Hotel Midah, Jalan Kampung Attap KL ini, bakal mengupas pelbagai topik bersangkutan dengan prosedur-prosedur penjagaan penampilan diri, anti penuaan, penjagaan berat badan, daripada aspek Syariatullah dan Sunnatullah, dan saya amat teruja ke arahnya.
 
Jemput hadir bagi yang berkelapangan. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui halaman webTimeless Clinic:
 
Akal yang sejahtera, ada pada tubuh yang sentosa. Di situlah Agama didukung dengan Taqwa.
 
43000 Bandar Seri Putra
 
 
 

Saiful Islam atau nama sebenarnya Hasrizal Abdul Jamil merupakan selebriti tekno-daie. "Aku terima nikahnya" merupakan salah satu karya popularnya. Artikel ini dipetik dari blog SaifulIslam.com.

 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.