PP perlu polisi jalan raya, alam sekitar baru

 

CADANGAN Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memindahkan 20 pokok teduhan serta menanam semula 44 pokok lain yang bakal ditebang bagi melebarkan Jalan Masjid Negeri, George Town adalah suatu langkah yang mengimbangi antara tuntutan pengguna dan melestari alam sekitar.

 

Cadangan MPPP itu demi menangani kesesakan trafik sungguhpun nyata akan mengganggu sistem pemulihan kualiti udara di kawasan tersebut seperti yang diluahkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

 

Bagi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar (LPAS) Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), insiden seperti ini tidak wajar berulang lagi.

 

MPPP perlu melaksanakan polisi lanskap yang lebih dinamik supaya pokok-pokok teduh tidak menjadi mangsa korban semasa projek menaik taraf sistem jalan raya mahu dilaksanakan.

 

Di Thailand, pokok-pokok teduh ditanam di tengah-tengah jalan dua hala supaya usaha pelebaran jalan yang dicadangkan kemudian tidak mengorbankan 'pendingin hawa alam' berwajib.

 

Kami percaya polisi dinamik ini ada dalam perancangan perbandaran MPPP sendiri kerana pihak berwajib tersebut pada September lepas telahpun melancarkan Projek Menghijaukan Bandar dengan menanam lebih 180 pokok teduhan di tengah-tengah jalan dua hala sepanjang 1.4 Kilometer dekat Datuk Keramat, George Town.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow sendiri melancarkan kempen pemuliharaan akan sekitar tersebut.

 

Sekiranya MPPP bertindak proaktif dengan melakukan tranformasi polisi lanskap ini tanpa perlu menunggu cadangan melebar mana-mana jalan lain diumumkan, mungkin perbezaan pendapat seperti inisiatif di Jalan Masjid Negeri tidak berulang.

 

Dari segi lain, langkah MPPP melebarkan jalan-jalan utama ke pulau tentunya sebagai persiapan menghadapi lambakan kenderaan terutama selepas Jambatan Kedua Pulau Pinang siap kelak.

 

Hasrat itu adalah murni. Namun, langkah tersebut bukanlah polisi terbaik.

 

Pembinaan Jabatan Kedua Pulau Pinang sebenarnya menggalakkan lagi kenderaan masuk ke pulau.

 

Kesesakan trafik parti akan lebih parah jika cadangan membina terowong bawah laut sepanjang 6.5 Kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam direalisasikan.

 

Sebab itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu terus memperkasa sistem pengangkutan awam sehingga menjadi pilihan utama pengguna di Negeri berkenaan.

 

Rata-rata penjawat awam dan pekerja kilang sekarang ini pun telahpun memilih ke tempat kerja menaiki bas percuma, iaitu Penang Hop On Free Central Transit (CAT) dan Bus Express Shuttle Transit (BEST).

 

Ini suatu permulaan yang nyata berjaya serta wajar diperluas dengan polisi yang lebih dinamik lagi.

 

Selain itu, MPPP hatta mungkin Kerajaan Negeri sendiri wajar mempopularkan budaya "Rumah Taman" atau "Home Garden", iaitu menjadikan rumah masing-masing sebagai taman dengan pokok-pokok.

 

Berikan insentif seperti kupon parkir kereta umpamanya kepada warga yang terlibat demi menggalakkan persaingan serta kelestarian budaya itu.

 

Beri kupon parkir sebenarnya langsung tidak meningkatkan kos belanja hangus Ringgit Malaysia (RM) MPPP.

 

Selain mampu meningkat lagi kualiti udara bersih di bandar, polisi dan insentif ini sekaligus akan memangkin pada merealisasikan kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat yang cuba diusahakan oleh Keraian Negeri lebih empat tahun lepas lagi.

 

Sesungguhnya negara atau negeri bertaraf maju mesti melaksanakan polisi dinamik untuk keperluan generasi masa depan.

 

Tetapi, negara atau negeri bertaraf membangun akan melaksanakan polisi untuk menyelesaikan masalah-masalah yang diadu oleh rakyat semalam. -END

 

<

p>


 

FIRDAUS MOHD ALI merupakan Ahli Jawatankuasa Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar (LPAS) Pemuda PAS Pusat dan bekas Pengerusi LPAS Pemuda PAS Pulau Pinang. 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.