Soros, UMNO dan APCO

 
Mahathir bersama George Soros.Tun M kembali lagi dengan drama propaganda untuk menyelamatkan nyawa UMNO namun watak yang ditonjolkan kali ini agak lapuk dan menggambarkan bahawa beliau sudah nyanyuk. Sebelum ini watak George Soros pernah dipopularkan oleh Tun M sendiri ketika memegang tampuk kepimpinan negara. Sekitar tahun 1997 beliau mencanangkan bahawa Soros merupakan punca krisis ekonomi negara. 
 
Aneh bila orang luar dipersalahkan tentang kemerosotan ekonomi negara sedangkan ketika itu beliau mempunyai autoriti sebagai Perdana Menteri untuk mentadbir dan membuat keputusan-keputusan melibatkan polisi ekonomi negara. Persoalannya, Soros atau Tun M yang gagal dan menyebabkan krisis ekonomi?
 
Tapi pada Desember 2006 Tun M membuat sidang media bersama Soros sendiri dan menyatakan beliau tidak harus dipersalahkan. Jika begitu, siapa yang salah dan bohong? Terkini Tun M merapu lagi dengan mengungkap "undi untuk PR adalah undi untuk Soros, si penyangak matawang".
 
UMNO seolah-olah semakin tenat dengan kenyataan dan tindakan terdesak. Tawaran rasuah tersembunyi dalam "Bajet Minta Nyawa" baru-baru ini juga menggambarkan keadaan kritikal UMNO meraih sokongan anak muda. Semestinya DS Najib sangat kecewa dengan kegagalan Ops 2020 apabila Pro Aspirasi kalah di tiga kampus utama di Lembah Klang.
 
Akhirnya Tun M terpaksa menjadi peluru terakhir untuk menyelamatkan UMNO dan meraih sokongan Melayu. Pada pandangan saya, sebagai negarawan yang disegani ramai, Tun seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjatuhkan kredibiliti beliau sendiri.
 
Jika Tun benar-benar ikhlas ingin menyelamatkan Malaysia dari propaganda dan ancaman  luar, bukan sahaja Soros yang perlu diungkitkan. Bagaimana dengan tindakan DS Najib melantik syarikat rundingan yang diasaskan zionis iaitu APCO Wordwide sebagai penasihat?
 
Tiada pula pula Tun M menyelar tindakan ini walaupun terang-terangan syarikat tersebut diasaskan oleh duta Israel ke Amerika Syarikat dan Jerman serta pernah menjadi penasihat kepada Ehud Barak.
 
Jika Tun M nyatakan undi PR adalah undi kepada Soros, jadi undi kepada UMNO pula adalah undi kepada APCO.
 

Syis Abdul Kadir merupakan Presiden PMIUM dan Aktivis Mahasiswa sepenuh masa. Kini masih meneruskan pengajian di tahap pertengahan dalam bidang Sarjana Muda Pendidkan Islam di Universiti Malaya. Artikel ini dipetik dari portal berita MahasiswaKini.
 

Ruangan Komen

PERINGATAN: PenangInsight tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun laman sosial dan tidak semestinya menggambarkan pendirian PenangInsight.com. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.